Tip: Bagaimana Untuk Kekal Bermotivasi


motivasiMotivasi diri kita bagaikan langit, ada masanya cerah dan ada ketikanya mendung. Kita dapat merasakan bahawa semangat kita mula menurun apabila keghairahan dan keseronokan melakukan sesuatu perkara semakin berkurangan.

Hakikatnya, semangat tidak luntur serta-merta atau pun tanpa sebab. Kita dapat mengesannya seperti penyakit yang mempunyai sebab dan tanda. Membiarkan sahaja keadaan ini berlarutan akan mengundang masalah lain.

Terdapat beberapa tip yang boleh dipertimbangkan untuk menaikkan semula motivasi:

 

  • Kenalpasti punca masalah

Kenalpasti punca yang menyebabkan motivasi kita menurun dan carilah penyelesaiannya segera. Sekiranya ia melibatkan sikap seseorang, segera bersemuka untuk meluahkan perasaan secara berhikmah dan fikiran terbuka serta dengan niat yang ikhlas demi mencari penyelesaian.

 

  • Baca kisah orang yang berjaya terutamanya mereka yang pernah gagal

Dapatkan inspirasi daripada perjuangan orang yang pernah gagal. Teliti liku-liku mereka yang bangkit semula untuk meneruskan perjuangan. Kejayaan mereka membuktikan bahawa kekuatan semangat dalaman adalah lebih hebat daripada kekuatan fizikal.

 

  • Jadilah pakar motivasi sendiri

Selalulah menasihati diri seolah-olah kita menasihati orang lain. Kita adalah insan yang lebih mengenali diri kita sendiri. Maka kita boleh memberikan penawar terbaik untuk diri sendiri. Apabila kita berjaya memujuk dan memulihkan semangat sendiri, kita akan merasai kepuasan dan boleh berkongsi dengan dengan orang lain.

 

  • Bergaul dengan orang yang bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam kehidupan

Perhatikan gaya hidup mereka yang lebih berjaya dan ceria untuk mendorong kita supaya menjadi lebih berjaya dan bahagia.

 

  • Jadilah pendorong semangat kepada orang lain

Berikan kata-kata perangsang kepada orang lain walaupun kita sendiri sedang bergelut untuk menaikkan semula semangat. Tindakan ini sebenarnya lebih berkesan apabila kita melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Dengan menasihati orang lain, kita akan terdorong untuk mengamalkan nasihat tersebut untuk membuktikan keberkesanannya.

 

  • Mengingati kembali impian dan matlamat hidup

Sentiasa ingatkan diri bahawa perjuangan belum tamat kerana impian kita belum tercapai sepenuhnya. Letakkan sasaran yang boleh diukur. Cetak dan lekatkan sasaran di tempat yang sesuai boleh mengingatkan kita supaya terus berusaha.

 

  • Jadikan tugasan suatu amanah dan perjuangan

Kehidupan adalah berkisar tentang amanah yang dipikul serta perjuangan yang tidak pernah selesai. Maka tanggungjawab utama kita adalah menunaikan amanah dengan bersungguh-sungguh supaya kehidupan lebih bermakna dan bermanfaat kepada diri dan orang lain.

 

  • Ubahlah penampilan dan suasana

Cuba fikirkan cara lain dalam melakukan sesuatu tugasan yang membosankan. Contohnya menukar kaedah manual kepada penggunaan teknologi seperti video dan muzik. Ubah juga penampilan atau hiasi kawasan kerja untuk menimbulkan mood baru terhadap tugasan tersebut. Banyakkan senyuman dan bina hubungan baik dengan teman sekerja serta pelbagai cara lain yang boleh membangkitkan semula semangat anda.

 

  • Perasaan negatif tidak baik untuk kesihatan dan reputasi

Tekanan akibat perasaan negatif boleh menjejaskan kesihatan jantung. Ia juga menjadikan wajah kurang ceria dan sikap yang tidak disenangi. Secara tidak langsung ia menghilangkan fokus dan mengurangkan kualiti kerja, sekaligus menjejaskan reputasi dan masa depan. Usah melayan perasaan negatif kerana ia tidak menyelesaikan masalah.

 

  • Berdoa dan berserah

Setiap kejadian pasti ada bersebab, ada jalan penyelesaian dan hikmahnya. Bersihkan hati dan hampirkan diri kepada-Nya serta berdoalah bersungguh-sungguh supaya diberi petunjuk dan jalan penyelesaian terbaik.

 

Hidup pasti ada cubaan dan ujian. Berbekalkan motivasi, kegigihan dan doa yang berterusan, kita pasti mampu menempuh aral yang melintang, insyaAllah.

About

Mentor usahawan berjiwa hartawan dunia dan akhirat. Kenali saya; https://www.facebook.com/noor.hisham.mokhtar https://plus.google.com/116121152872768812991