Sifat Redha Tanda Keimanan Dan Kekayaan Jiwa


RedhaSifat redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah SWT.

Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah SWT.

Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

1. Redha menerima peraturan (hukum) Allah SWT yang dibebankan kepada manusia.

2. Redha menerima ketentuan Allah SWT tentang nasib yang mengenai diri.

Redha menerima hukum-hukum Allah SWT merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah SWT kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepada-Nya.

At-Taubah, 9.59

Pada dasarnya segala perintah Allah SWT baik yang wajib mahupun yang Sunnah, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah SWT hendaklah dijauhi dengan lapang dada.

Redha dengan qada’ pula ialah merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah SWT baik berupa nikmat mahupun berupa musibah (malapetaka). Di dalam hadis diungkapkan bagaimana Rasulullah SAW berhadapan dengan perkara yang disukai mahupun yang tidak disukai.

Riwayat Ibnu Majah

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian:

Pertama: Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah SWT memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua: Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah SWT itulah yang paling baik, dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Seorang muslim tidak terlalu sedih apabila ditimpa musibah atau kesusahan, dan tidak pula terlalu gembira ketika menerima nikmat. Segalanya diterima seadanya dengan rasa redha dan terus taat melaksanakan segala kewajipannya dalam susah dan senang.

Begitulah kekayaan jiwa seorang muslim yang sentiasa redha dengan kehendak Allah SWT ke atas dirinya, sama ada baik atau buruk pada pandangan manusia, pasti itulah yang terbaik untuk dirinya daripada Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Semoga mendapat redha Allah…

Mentor Hisham

About

Mentor usahawan berjiwa hartawan dunia dan akhirat. Kenali saya; https://www.facebook.com/noor.hisham.mokhtar https://plus.google.com/116121152872768812991