Sifat Qanaah Adalah Tiang Kekayaan


qonaahSifat qanaah ialah ‘merasa cukup’ dengan apa yang dimiliki sebagaimana yang dikurniakan oleh Allah bagi memenuhi keperluan hidup sama ada berupa makanan, pakaian atau sebagainya. Orang yang mempunyai sifat qanaah telah memagar hartanya sekadar apa yang ada dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.

Rasulullah SAW pernah menjelaskan tentang sifat qanaah dalam hadisnya:

Sifat Qanaah

 

Imam An-Nawawi pula menerangkan bahawa qanaah ialah: “Puas dengan apa yang dimiliki tetapi tetap berusaha gigih, serta mempunyai sifat luhur dan ‘afaf; iaitu enggan meminta-minta, berlaku sederhana dalam kehidupan dan berbelanja serta mencela (mengelak) meminta-minta tanpa keadaan darurat (keperluan mendesak).”

Berdasarkan penerangan di atas, sifat qanaah dapat menghalang seseorang daripada meminta-minta dan bergantung dengan sesama manusia. Sikap suka meminta-minta adalah tanda seseorang itu miskin dan memerlukan bantuan orang lain. Sedangkan tempat pergantungan seorang muslim hanyalah Allah SWT.

Sifat qanaah juga secara tidak langsung dapat membendung sifat tamak haloba, cemburu dan iri hati terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain. Seseorang itu akan merasa lapang dengan rezeki yang diberikan Allah SWT kepadanya dan hilang rasa tamak terhadap apa yang tidak dapat dicapai olehnya.

Namun begitu, ia tidak bermakna seseorang itu berhenti berusaha dan berikhtiar mencari kekayaan kerana semata-mata merasa cukup dengan apa yang ada. Itu bukan sifat qanaah yang diajar oleh Rasulullah SAW tetapi sifat malas yang membawa kemunduran hidup serta fitnah kepada Islam yang dianggap menghalang kemajuan.

Lihatlah contoh para sahabat Rasulullah SAW, merupakan orang-orang kaya yang memiliki wang dan harta berbilion, binatang ternakan yang banyak serta urusniaga hingga ke luar negara, tetapi dalam masa yang sama mereka bersifat qanaah. Harta yang ada bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata tetapi juga digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan dan mendokong perjuangan Islam.

Umat Islam memerlukan ramai individu muslim yang kaya dan qanaah seperti para sahabat Rasulullah SAW. Tidakkah kita mahu menjadi salah seorang daripadanya?

Renungan diri sendiri..
Mentor Hisham

About

Mentor usahawan berjiwa hartawan dunia dan akhirat. Kenali saya; https://www.facebook.com/noor.hisham.mokhtar https://plus.google.com/116121152872768812991